1. PENYEMBELIHAN QURBAN
Qurban ialah
penyembelihan binatang qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji (selepas solat
'Idil Adhha) dan hari-hari Tasyriq iaitu ,11,12 dan 13 Zulhijjah kerana
beribadah kepada Allah s.w.t. , iaitu sebagai menghidupkan syariat
Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad
s.a.w.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan telah
Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi'ar Allah, kamu memperolehi
kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu
menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah
roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan
apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta.
Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan
kamu bersyukur." (surah al-Haj:36)
"Maka
dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah." (Surah al-Kauthar:2)
Daripada Aisyah r.a
Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Tiada suatu
amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai
Allah selain daripada menyembelih hewan qurban. Sesungguhnya hewan qurban itu
pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya,
bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu
menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah
kamu semua dengan (pahala) qurban itu." (Riwayat
al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Zaid bin Arqam
berkata: "Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban)
itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: "Ia sunnah bagi bapa kamu
Nabi Ibrahim." Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah
s.a.w. menjawab: "Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan." Mereka
bertanya: "maka bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w bersabda
yang bermaksud "Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu
kebaikan." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
2. HUKUM BERQURBAN
Hukumnya Sunnat
Muakkad (Sunnat yang dikuatkan) atas orang yang memenuhi syarat-syarat
seperti berikut:
- Islam
- Merdeka (Bukan hamba)
- Baligh lagi berakal
- Mampu untuk berqurban
"Aku disuruh berqurban dan ia sunnat bagi kau." (Riwayat al-Turmuzi).
"Telah diwajibkan kepada ku qurban dan tidak wajib bagi kamu." (Riwayat Daruqutni)
Walaupun hukum
berqurban itu sunnat tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib jika dinazarkan.
Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang
bernazar untuk melakukan taat kepada Allah, maka hendaklah dia melakukannya."
(Sila Rujuk: Fiqh al-Sunnah)
3. PERLAKSANAAN QURBAN
·
Binatang yang
diqurbankan daripada jenis unta, lembu atau kerbau, kambing biasa yang berumur
dua tahun, jika biri-biri telah berumur satu tahun atau telah gugur giginya
sesudah enam bulan meskipun belum cukup satu tahun.
·
Binatang itu
disyaratkan tidak cacat, tidak buta sebelah atau kedua-duanya, kakinya tidak
pincang, tidak terlalu kurus, tidak terpotong lidahnya, tidak mengandung atau baru
melahirkan anak, tidak berpenyakit atau berkudis. Binatang yang hendak
disembelih itu mestilah sihat sehingga kita sayang kepadanya.
·
Waktu
menyembelihnya sesudah terbit matahari pada Hari Raya Haji dan sesudah selesai
solat 'Id dan dua khutbah pendek, tetapi afdhalnya ialah ketika matahari naik
segalah pada Hari Raya Haji sehingga tiga hari sesudah Hari Raya Haji
(hari-hari Tastriq yaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah)
·
Daging qurban
sunnat, orang yang berkorban disunnatkan memakan sedikit daging qurbannya. Pembahagian
daging qurban sunnat terdapat tiga cara yang utamanya adalah mengikut urutan
sepererti berikut:
1.
Lebih utama orang
yang berqurban mengambil hati binatang qurbannya dan bagi seluruh dagingnya
disedekahkan
2.
Orang yang
berqurban itu mengambil satu pertiga daripada jumlah daging qurban, dua pertiga
lagi disedekahkannya.
3.
Orang yang
berqurban mengambil satu pertiga daripada jumlah daging, satu pertiga lagi
disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada orang
yang mampu. Sabda Rasullullah s.a.w: "Makanlah oleh kamu
sedekahkanlah dan simpanlah."
4.
HIKMAH DAN FADHILAT
·
Menghidupkan sunnah
Nabi Allah Ibrahim a.s.
·
Mendidik jiwa
kearah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
·
Mengikis sifat
tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta kejalan Allah
s.w.t.
·
Menghapuskan dosa
dan mengharap keredhaan Allah s.w.t.
·
Menjalinkan
hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara golongan berada dengan
golongan yang kurang bernasib baik.
·
Akan memperoleh
kendaraan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim diakhirat
kelak. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Muliakanlah
qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu dititian pada hari kiamat."